Asal asam rong Gulai asam rong

Perkataan asam rong ini berasal dari perkataan isirong iaitu merujuk kepada bahagian isi dalam buah dan perkataan asam itu digunakan kerana kaedah penyimpanan dan pembuatan asam rong ini sama dengan asam yang lain. Asam rong ini dipopularkan oleh penduduk di sebelah perkampungan mukim Tembeling, Jerantut, Pahang. Pada asalnya asam rong ini diperbuat dari buah perah iaitu sejenis buah yang didapati dari pokok perah yang tumbuh di dalam hutan tebal. Namun menyedari sukarnya mencari dan mendapatkan buah perah ini penduduk di sini mula mencari alternatif lain dengan menggantikan dengan biji getah iaitu biji dari pokok getah. Pada masa kini mereka menggunakan biji getah kerana ianya senang diperolehi berbanding dengan buah perah yang perlu dicari di dalam hutan tebal. Memandangkan kebanyakan penduduk di sini banyak menanam pokok getah sebagai sumber pendapatan utama mereka maka penggunaan biji getah untuk membuat asam rong ini memudahkan mereka mendapatkan bahan tersebut.

Asam rong ini bukanlah mempunyai rasa masam seperti lazim asam yang lain, ianya mempunyai rasa yang sedikit pahit dan lemak. Mungkin kerana ianya diperam berbulan-bulan lamanya dan dipanggil asam oleh penduduk di sini lantaran cara penyedian dan penyimpanannya sama dengan asam yang lain.